Saturday, April 5, 2014

Hingga Hujung Nyawa


Setiap kali memandu menyusuri laluan berdekatan kubur yang hampir dengan rumah sewaku ini sentiasa mengingatkan aku tentang mati. Setiap manusia yang hidup pasti akan mati. Hidup di dunia ini hanya pinjaman sementara. Aku sedar saban waktu banyak kesilapan dan kesalahan yang aku lakukan...terkadang duduk bersendirian, tiba2 air mata mengalir dari kelopak mata. Jika dengar alunan zikir di astro oasis apatah lagi. Alhamdulillah Allah berikan aku sekeping hati yang masih lembut. Namun kadang2 aku rasa aku terlalu lemah. Hanya Allah yang tahu segala-galanya. Jika semua orang tahu bila mereka akan mati, pasti mereka akan duduk berteleku, bersujud dan berdoa memohon keampunan daripada Allah. Mereka juga pasti akan menghindari maksiat dan beribadah dengan bersungguh-sungguh apabila tiba masanya menghampiri mati. Namun Allah rahsiakan tarikh ajal manusia kerana Allah ingin melihat sejauh mana ketaqwaan dan keimanan hambaNya. Begitu juga tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Ya, sememangnya mengingati mati adalah satu nasihat yang terbaik untuk diri.

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (انّا للہ و انّا الیہ راجعون)
 "Sesungguhnya kita milik Tuhan, dan kepada Tuhan jualah kita kembali."

Diri ini milik Allah bukan milik siapa2. Aku sepatutnya sedar yang suatu hari nanti aku akan kembali kepada pencipta. Begitu juga insan lain. Kita semua milik Allah dan akan kembali kepada Allah suatu hari nanti. Dari tanah kita dicipta dan ke dalam tanah jua kita dikuburkan. 


Seterusnya, ingin juga aku kongsikan apa yang aku perhatikan di kuburan itu. Hampir setiap pagi dan petang kelihatan seorang lelaki tua yang berseorangan duduk dikuburan. Duduk di sebalik payungnya sehingga rakan rumahku menggelarnya pakcik cendawan. Jauh di sudut hati tersentuh melihat si tua itu setia di kuburan itu. Membersihkan kubur itu, menanam pokok di atas kubur dan membaca yaasin di situ. Aku mula berfikir dan berteka teki, barangkali kubur itu milik isterinya. Inilah yang dikatakan 'Setia Hingga Hujung Nyawa'. Betapa setia si tua itu. Kadang2 sanggup berpanas dan berhujanan di kubur itu. Sayu dan pilu hati ini melihat si tua itu. Terus aku terkenangkan ayah dan ibu. Semoga Allah memanjangkan usia mereka agar aku terus dapat menatap wajah mereka dan menabur jasa buat mereka. Terlalu banyak silap dan salah aku terhadap mereka. Aku bukanlah tidak teringin duduk di samping mereka tetapi tugas membuatkan aku terpaksa berjauhan. Bukan juga aku ingin memberontak kerana suatu ketika dahulu pilihanku ditolak tetapi aku ingin terus-terusan mencari pengalaman di tempat orang. Semoga dengan pengalaman aku terus dewasa dan berfikir dengan lebih matang. Ajal, maut, jodoh, pertemuan semua di tangan Allah. Allah merencanakan segala-galanya. Aku pon tidak tahu bila aku akan mati, semoga aku dapat menjadi hamba yang Taat akan perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Walau siapa kita di dunia ini, kita harus sedar dan berbalik kepada Allah. Allahu Akbar, Allah Maha Besar.